Bismillah ir-Rahman ir-Raheem
VOLUME 2
 

IBADAT HAJI

Rasulullah bersabda “Haji itu Arafah” Pada hari-hari yang berkat ini datang musim haji yang merupakan rukun kelima dalam rukun Islam. Haji dalam bahasa Arab membawa erti tuju atau qasad manakala dalam istilah syarak pula ialah: Amal ibadat tertentu yang dilakukan pada waktu dan tempat tertentu mengikut cara-cara yang telah ditentukan.

Rasulullah telah bersabda dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: “Sesiapa yang memiliki bekalan yang mampu menyampaikannya ke Baitillah tetapi tidak melakukan haji, maka tiada hujah ke atasnya melainkan mati dalam keadaan Yahudi atau Nasrani” (Hadith riwayat Termizi)

Wahai saudara dan saudari sekelian,

Ruangan ini bukanlah ruangan untuk membincangkan haji dari sudut fiqh, kerana perbincangan haji dari sudut fiqh itu merupakan perbahasan ahli-ahli fiqh.

Sesungguhnya kami akan membincangkan konsep haji dari sudut marifatullah dan ubudiyyah terhadap Allah. Apabila kita memahami bahawa haji itu adalah tuju atau qasad maka untuk menuju destinasi tersebut kita mestilah berhajat kepada niat. Niat tempatnya di hati, manakala hati itu pula adalah mahkota keikhlasan. Sekiranya terjelma segala ini, kita akan lihat segala amalan kita itu dikira haji dari aspek qasad dan keikhlasan dalam melakukan ibadat kepada Allah.

Dan kami menyatakan haji itu Arafat (kenal ) sebagaimana yang telah didefinasikan oleh para Fuqaha` dan ahli Hadith, dan kami menyatakan bahawa kenal itu ialah kenal Allah dengan sebenar-benarnya. Oleh yang demikian, dikatakan “sesiapa yang mengerjakan haji sesungguhnya dia telah kenal” iaitu kenal dirinya yang sentiasa berhajat, hina, merendahkan diri, dan sentiasa berserah serta kenal akan tuhanya yang maha perkasa lagi berkuasa melakukan apa saja. Haji itu hakikatnya ialah kita mencabut segala hawa nafsu yang keji dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah Taala dengan tujuan dan niat yang betul. Firman Allah taala dalam Al-Quran yang bermaksud “Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji” (Al-Hajj-27)

Sesungguhnya telah diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. telah naik bukit Aba Qubais, lalu menyeru, “Wahai manusia sekalian, berhajilah kamu ke Baitullah” Lalu Allah memperdengarkan seruan Rasul itu kepada sekalian ruh maka menjawablah roh-roh yang mampu melakukan haji yang berada dalam sulbi dan rahim-rahim dengan katanya “Labbaika Allahumma Labbaik” Diriwayatkan bahawa Muhammad bin Yasin berkata, telah bertanya kepadaku oleh seorang Syeikh ketika kami sedang tawaf, kamu dari mana? Jawabku ,”Dari Khurasan” dia bertanya lagi, “Berapa jauh dari rumahmu dengan Baitullah” Aku menjawab “Perjalanan selama dua atau tiga bulan” Kata syeikh itu lagi kamu masih jiran Baitullah” Lalu aku bertanya kepadanya “ Kamu datang dari mana?” Dia menjawab “Aku datang dari perjalanan yang jauhnya selama lima tahun, aku keluar dari rumah ketika masih muda dan kini aku telah tua” Aku berkata kepadanya “Demi Allah, ini ketaatan yang cukup indah dan kecintaan yang cukup setia” Lalu dia tersenyum ketawa seraya berkata, “Ziarahilah orang yang kau cintai meskipun rumahmu jauh dan dihalang oleh hijab-hijab serta pelindung, janganlah kejauhan itu menghalang kamu dari menziarahi kekasihmu, sesungguhnya seorang yang berkasih dan bercinta itu pasti menziarahi kekasihnya”

Adapun firman Allah yang bermaksud “Supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan (10, 11 dan 12 Zulhijjah) atas rezeki yang diberikan kepada mereka berupa binatang ternakan”

Tentang hari-hari sembelihan di sisi Imam Malik dan Imam Syafie ialah hari pertama, kedua dan ketiga (Hari raya) dan tidak harus menyembelih binatang korban pada malam raya di sisi Imam Abu Hanifah berdasarkan firman Allah yang bermaksud “Pada hari yang telah ditentukan” dan tidak difirmankan “Pada malam yang ditentukan”Hari yang ditentkan itu hari raya yang bermula dari sepuluh Zulhijjah.

Dan zikrullah (menyebut nama Allah) didatangkan bersama sembelihan dan penyempurnaan kerja haji, itu semua merupakan amalan kesyukuran di sisi ahli Ma’rifah billah. Allah berfirman yang bermaksud “Dan beramallah wahai keluarga Daud untuk bersyukur kepada Allah dan sedikit sekali dari hamba-hambku yang bersyukur” (Saba` -13)

Dan antara adab haji rabbani yang tidak terhingga banyaknya ialah firman Allah yang bermaksud “Dan jauhilah Ar-Rijsu (Najis berhala)” Kerana yang demikian itu mengambil berat larangan-larangan Allah. Ar-Rijsu ialah setiap perkara yang dianggap kotor dari benda yang keji dan setiap perkara yang dianggap kotor dari kelakuan dan tabiat manusia. Firman Allah yang bermaksud “dan jauhilah kata-kata dusta” Ia diambil dari bab umum setelah dikhususkan ayat-ayat itu, ini adalah kerana penyembahan berhala kebendaan dan berhala ma`nawi merupakan satu perbuatan keji. Sesungguhnya kalimah dusta atau saksi palsu itu adalah sikap berbohong yang telah menjalar dalam masyarakat Islam pada hari ini dan tidak terkecuali sehinggakan golongan terpelajar dan golongan ahli Tarikat juga menipu dan berbohong dengan beralasan ialah adalah satu kebijaksanaan lalu mereka menipu makhluk Allah sedangkan sebenarnya mereka menipu diri sendiri, sesungguhnya kami telah menyaksikan ini (gejala menipu) melata di kalangan penuntut-penuntut ilmu dan pengikut-pengikut sebahagian Syeikh, dengan beranggapan bahawa mereka telah menambahkan kebaikan dan menunaikan khidmat untuk Islam dan penganutnya.

Bagi orang yang memerhati sirah haji, dapatlah dilihat bahawa amalan haji itu teradun dengan zikir kepada Allah seperti Talbiah, Tahlil, Takbir dan Selawat ke atas junjungan Rasulullah SAW. Oleh kerana itu telah berkata Al-Arifbillah “Ada orang yang menunaikan haji dengan tubuh mereka tetapi tidak dengan hati mereka, dan ada pula yang menunaikan haji dengan ruh mereka tetapi tidak dengan jasad mereka, dan terdapat pula orang yang mengerjakan haji dengan jasad dan ruh dan merekalah golongan yang sempurna”

Adapun firman Allah yang bermaksud “ Dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hati”

Ta`zim (mengagungkan) ialah merasakan dan menghadirkan hati dengan kebesaran Allah. Berkata seorang Al-Arifbillah “ Tanda-tanda kebesaran Allah yang wajib diagungkan ialah Wali-wali Allah yang menunjukkan jalan kepada Allah, fakir-fakir yang menghadapkan hati kepada Allah, kemudian ulama`-ulama` yang beramal dengan hukum Allah, kemudian golongan soleh, kemudian orang-orang mukmin seluruhnya” Sabda Rasulullah yang bermaksud :

“ Saling memberi hadiahlah diantara kamu, pasti kamu akan berkasih sayang” Dan termasuk syiar-syiar Allah juga ialah masjid-masjid dan tempat-tempat mulia. Al-Fakir Ila Allah beradab dengan semua makhluk.

Saudara dan saudari sekalian,

Pada hari yang penuh berkat ini, marilah kita bersama-sama mengagungkan Allah, menghadapnya dengan hati yang tulus ikhlas berlandaskan syariat yang sahih sehinggalah terjelma sifat ubudiyyah kita melalui akhlak yang mulia. Mudah-mudahan Allah menerima usaha haji dan mengampunkan dosa-dosa kita, ketahuilah saudara dan saudariku bahawa Allah mengurniakan peluang haji dan membuka pintu taubat dan keampunan untuk kita, sabda Rasulallah yang bermaksud “Sesiapa yang melakukan haji dan dia tidak celupar mulut dan tidak melakukan fasiq pulangnya adalah seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya”
 
 

Al-faqir ila Allah:

Youssef Muhyiddin Al-Hasani

Volume 1 |Volume 3

Back To Front Page
 

alrashad@email.com



Last Updated: March 19th, 2000.